SEJARAH ASAL USUL


Kampung ini telah dibuka pada tahun 1918 dan diketuai oleh Haji Abdul Razak Bin Haji Alias yang berasal dari Tanah Jawa bersama dengan 25 orang anak buahnya. Sebelumnya orang-orang ini telah berkampung di Negeri Perak iaitu di Sungai Tiang, Cenderung Balai dan Sungai Sumun hingga ke Hilir Perak. Mereka ini pada asalnya merupakan golongan buruh dan pekerja ladang sahaja. Diringkaskan cerita mereka ini telah mendapat tahu bahawa ada tanah atau kawasan baru yang akan dibuka di sebelah Sungai Bernam. Dengan adanya peluang ini maka mereka pun beramai- ramai telah berhijrah kekawasan baru itu untuk mencari penghidupan yang lebih baik. Tempat yang mula-mula dibuka ialah di kawasan Sungai Lang. Menurut cerita, kawasan ini dinamakan Sungai Lang ialah kerana pada masa itu di pantai Selat Melaka ada satu pohon kayu yang sudah mati tetapi rantingnya masih hidup. Apabila waktu senja kelihatan beratus-ratus burung helang hinggap di pohon kayu tersebut hingga keesokan harinya. Burung-burung helang ini menjadikan pohon kayu tersebut sebagai tempat bermalam dan seolah-olah tempat helang menumpang tidur. Maka kampung ini pun dinamakan Kampung Sungai Lang dari tahun 1919 hingga 1946.

Nama Kampung Sungai Lang Bertukar Menjadi Kampung Parit Baru.
Menurut cerita, ada satu peristiwa iaitu dalam tahun 1938 semasa penjajahan British, Kampung Sungai Lang mempunyai dua tempat yang namanya sama iaitu Sekolah Melayu Sungai Lang di Daerah Kuala Langat dan Sekolah Melayu Sungai Lang di Daerah Sabak Bernam. Kisah berlaku disebabkan peristiwa buku mata pelajaran Hisab (kira-kira) dari Jabatan Pelajaran yang sepatutnya dihantar ke Sekolah Melayu Sungai Lang, Banting,Kuala Langat telah tersalah hantar dan buku tersebut telah sampai ke Sekolah Melayu Sungai Lang Sabak Bernam. Perkara ini tidak dihebohkan dan dibiarkan begitu sahaja. Pada tahun 1941, Jepun menyerang Malaya dan pihak British telah kalah. Pada zaman Jepun, keadaan sekolah tidak menentu dan padang sekolah dijadikan ladang ubi kayu. Dalam suasana negara tidak aman, sumber mata pencarian sangat sukar bagi penduduk di daerah terpencil. Akhirnya pada tahun 1945 Jepun dikalahkan oleh pihak tentera Berikat.
Pada masa ini, Sekolah Melayu Sungai Lang, Sabak Bernam telah dibuka semula oleh pihak pemerintah. Satu keputusan telah diambil untuk menukarkan nama sekolah ini kepada Sekolah Melayu Parit Baru. Ini kerana dalam satu mesyuarat, Pengerusi Lembaga Sekolah iaitu Tuan Haji Abdul Hassan Bin Hj Abdul Razak telah memaklumkan mengenai berlakunya kekeliruan antara nama sekolah yang terdapat di Sabak Bernam dan Kuala  Langat pada tahun 1938 sehingga menyebabkan buku Hisab telah tersalah hantar. Oleh itu pihak sekolah telah bersepakat menukarkan nama Sekolah Melayu Sungai Lang kepada Sekolah Melayu Parit Baru dan disinilah permulaan nama Kampung Parit Baru. Nama ini diambil sempena kerja-kerja  membina parit yang dilakukan secara bergotong-royong oleh penduduk kampong di sepanjang tebing Sungai Bernam sehingga ke Kampung Teluk Rhu.
Pada tahun 50an hingga ke 60an, parit ini menjadi jalan utama yang menghubungkan laluan kampung dengan sungai Bernam yang menjadi laluan utama ke tempat lain seperti perak dan Sabak Bernam.

Nama Kampung Parit Baru Bertukar Menjadi Kampung Parit Baru Pekan.
Pada asalnya Kampung Parit Baru adalah meliputi Kg Parit Baru Baruh, Parit Baru Pekan Dan Sungai Apong. Kadar pertumbuhan penduduk kampung parit baru adalah tinggi, jadi untuk memudahkan pentadbiran kampung, pada sekitar tahun 1972 Kampung Parit Baharu ini di pecahkan kepada 3 Bahagian yang lebih kecil untuk memudahkan pentadbiran. Dari hasil pecahan kawasan ni maka wujudlah Kampung Parit Baru Pekan, Kampung Parit Baru Baruh dan Sungai Apong. 


 

KRONOLOGI SEJARAH PENUBUHAN KAMPUNG PARIT BARU PEKAN


1918 – PENEROKAAN KAWASAN DI HILIR SUNGAI BERNAM OLEH HJ ABDUL RAZAK BIN HJ ALIAS BERSAMA 25 RAKAN.
1919 – KAMPUNG DIBERI NAMA KAMPUNG SUNGAI LANG
1938 – BERLAKU PERKARA TERSILAP HANTAR BUKU SEKOLAH MELAYU SUNGAI LANG BANTING KE SEKOLAH MELAYU SUNGAI LANG SABAK BERNAM.
1941 – JEPUN MENJAJAH MALAYA DAN SEKOLAH MELAYU SUNGAI LANG DITUTUP.
1945 – JEPUN DIKALAHKAN DAN SEKOLAH MELAYU SUNGAI LANG DIBUKA SEMULA. PENGERUSI LEMBAGA SEKOLAH IAITU TN HJ ABDUL HASSAN BIN HJ ABDUL RAZAK TELAH MENGUMUMKAN PENUKARAN NAMA SEKOLAH KEPADA SEKOLAH MELAYU PARIT BARU KERANA KEKELIRUAN YANG BERLAKU PD TAHUN 1938. DISINILAH BERMULANYA NAMA KAMPUNG PARIT BAHARU YANG DIAMBIL DARI SEMPENA PEMBINAAN PARIT YANG BARU DIBINA SECARA GOTONG ROYONG.
1945 – PARIT BARU YANG DIBINA DIGUNAKAN SEBAGAI JALAN PERHUBUNGAN PENGANGKUTAN AWAM DAN MENGELUARKAN KOMODITI KAMPUNG.
1972 – KAMPUNG PARIT BAHARU TELAH DI PECAHKAN KEPADA 3 KAMPUNG IAITU KAMPUNG PARIT BARU PEKAN, PARIT BARU BARUH DAN SUNGAI APONG.







SEJARAH PENTADBIR KAMPUNG


1919 – 1941
TUAN HJ ABDUL RAZAK BIN HJ ALIAS

1945 – 1972
TUAN HJ ABDUL HAASAN BIN HJ HJ ABDUL RAZAK

1971-19??
BAPAK MAT SAKOR

19?? -20??
TUAN HJ IMAM AHMAD

20??- 2008
TUAN MUSANIP BIN MATIONO

2008-2015
PENTADBIR PARLIMEN
TUAN MUSANIP BIN MATIONO

PENTADBIR NEGERI
TUAN HJ MAT NOR BIN RAJIKIN

 2015- SEKARANG
PENTADBIR PARLIMEN
EN. NOOR ASMADI BIN MOHD YAHYA

PENTADBIR NEGERI

EN. JAIL BIN HJ IKHSAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan